Thursday 25 February 2016

Lara Semalam Ep74

SAMPAI sahaja di tepi kereta, Alisya menangis semahu-mahunya. Dia tak mampu nak menahan sebaknya lagi sebaik sahaja memandang wajah kedua-dua anak kecil itu.
“Isya, Isya okey tak? Kalau tak okey, kita postpone balik esok sahaja.”
“Tak apa, kita balik hari ni sahaja.”
“Hurm, macam tu kita gerak sekarang.”
Alisya langsung tak menoleh ke arah rumah Iskandar ketika kereta Hazrill mula meningalkan kawasan perumahan itu. Dia terasa seolah-olah Nana masih ada di rumah itu. Teringat lambaian terakhir daripada Nana beberapa minggu lepas. Sesungguhnya, dia sangat-sangat rindukan saat itu.
“Isya okey tak ni?”
“Hurm, Isya okey sahaja.”
Handphonenya yang berdering dipandang sekali lalu. Dari semalam Eqal call dia tapi tak ada satu pun yang diangkatnya. Dia perlukan masa untuk menenangkan dirinya.
“Kenapa tak angkat?”
“Nantilah sampai KL Isya call dia. Sekarang ni Isya tak ada mood nak bercakap dengan dia.”
“Tak baik Isya buat dia macam tu.”
Alisya terus memandang wajah Hazrill yang sedang tenang memandu. Apa maksud lelaki itu? Dia dah buat apa sampai Hazrill cakap macam tu? Dia hanya mahu menenangkan dirinya sahaja.
“Apa maksud Hazrill?”
“Dia risaukan Isya tu. Sekurang-kurangnya kalau tak nak angkat sekalipun, hantarlah satu mesej beritahu dia.”
Baru sahaja Alisya nak bertanya tentang Naufal pada Hazrill, handphonenya berdering sekali lagi. Patut ke aku angkat? Tapi masalahnya aku memang tak ada mood nak cakap dengan dia.
Hello, assalamualaikum.”
“Wa’alaikumussalam, Isya. Kenapa tak angkat call Eqal dari semalam? Isya tahu tak Eqal risau separuh nak mati bila Eqal call Isya langsung tak angkat. Isya balik bila? Mummy dah keluar dari hospital dan dia nak jumpa Isya. Eqal sampai tak tahu nak cakap apa pada mummy bila Isya langsung tak angkat call. Apa benda yang penting sangat sampai Isya rushing balik kampung? Semua persiapan pertunangan Isya tinggalkan semata-mata nak balik kampung. Bila Eqal call tak berangkat. Isya, majlis pertunangan kita lusa tahu tak? Isya jangan main-main.”
Alisya melepaskan keluhan berat sebaik Eqal mula membebel memarahinya. Setelah apa yang dilaluinya hari ni… dia terasa tiada semangat lagi nak meneruskan rancangan perkahwinan ini.
“Eqal, Nana dah meninggal dunia.”
Eqal terus terdiam sebaik sahaja mendengar kata-kata Alisya. Jadi, Alisya pulang ke kampung bukan sebab nak lari dari dia. Ya Allah, dia dah salah faham dengan Alisya.
“Isya, maafkan Eqal.”
“Isya nak bersendirian buat sementara waktu. Apa-apa nanti Isya beritahu.”
Alisya terus menamatkan perbualan tanpa sempat Eqal mengatakan sesuatu. Dia perlukan masa untuk bersendirian. Salah dia ke kalau dia tinggalkan semua benda tu untuk jumpa arwah buat kali yang terakhir?
“Rill, Isya nak singgah Mac Donald sekejap boleh?”
“Hurm...”
Fahamlah Hazrill bahawa Alisya tak okey kalau dalam keadaan macam ni dia nak pergi Mcd. Seperti selalunya, Alisya melepaskan kesedihan dan kegeramannya dengan makan ice cream Mcd dan fries sebanyak-banyaknya.
“Rill, awak balik KL dulu ya? Isya nak spend time sehari lagi dekat rumah mama.”
“Habis awak nak balik macam mana?”
“Isya ada tinggal kereta dekat rumah mama. Isya tak nak susahkan awak teman Isya lama-lama dekat kampung ni.”
No, Isya. Isya datang dengan Rill. So, balik nanti dengan Rill juga.”
Alisya menggelengkan kepalanya perlahan. Dia tak mahu nanti sanak saudaranya salah faham dengan hubungannya dengan Hazrill. Lagipun dia tak naklah orang fikir dia curang pada Eqal.
“Tak apa, Rill. Isya cuma nak tenangkan fikiran. Lagipun Isya akan balik juga esok.”
“Rill boleh temankan. Setakat nak ambil cuti sehari sahaja lagi tak jadi masalah.”
“Suka hati Rill lah.”
Alisya terus menghubungi mama ketika Hazrill masuk ke dalam Mcd untuk membeli makanan kegemarannya. Lebih baik dia beritahu mama awal-awal. Nanti tak adalah mama terkejut dia balik dengan Hazrill dan bukannya dengan Eqal.
“Ma, Isya ni.”
“Hah, Isya. Ada apa call mama ni? Risau mama tak datanglah tu. Esok pagi mama dengan papa geraklah ke sana.”
“Bukan, ma. Isya ada dekat kampung ni. Kawan Isya meninggal pagi tadi. Isya nak tidur rumah mama malam ni boleh?”
“Lah, kenapa nak tanya-tanya lagi? Rumah mamakan rumah Isya juga.”
Alisya mendiamkan dirinya buat seketika. Macam mana ya aku nak beritahu mama tentang Hazrill ya? Mama marahkan aku tak sebab balik kampung dengan bekas kekasih dan bukannya bakal tunang sendiri?
“Hurm, ma...”
“Ya?”
“Isya bukan balik dengan Eqal.”
“Isya balik seorang ke? Bahayanya. Kenapa tak ajak Sara dengan Aidil teman Isya?”
Isya mengeluh perlahan. Agak-agak apa reaksi mama kalau aku beritahu yang aku balik dengan Hazrill nanti? Mama marah aku ke tak nanti?
“Bukan, ma. Isya balik dengan Hazrill. Kak Sara dengan Aidil ikut ibu dengan abah pergi meeting. Mummy Eqalkan masuk wad sebab kena serangan jantung.”
Bila mama mendiamkan diri, Alisya mula merasa cemas. Ya Allah, mama marah dekat aku ke? Aku ni pun satu kenapa aku mesti call Hazrill dan minta pertolongan dia? Kenapalah waktu tu aku tak fikir panjang ya?
“Ma, mama marah Isya ke?”
“Tak, sayang. Mama cuma terkejut bila dengar nama Hazrill. Eqal tahu tak yang Isya balik dengan Hazrill?”
Bila mendengar mama berkata sebegitu barulah Alisya mampu menarik nafas lega. Takut betul dia jika mama marahkan dia. Mujurlah mama sporting sahaja orangnya… kalau tak mahu juga dia balik KL sekarang juga.
“Tak, ma. Isya tak nak bebankan dia. Tapi Isya beritahu Kak Sara. Mungkin Kak Sara dah beritahu ibu dengan abah.”
“Hurm, kalau macam tu tak apalah. Ajaklah Hazrill tidur rumah mama. Dia tak pernah datang lagikan rumah mama?”
Alisya akhirnya dapat menarik nafas lega tatkala mendengar kata-kata mama. Alhamdulillah, mama tak marahkan aku… tapi macam mana pula reaksi papa? Rasanya papa okey sahaja kot?
“Kalau macam tu kejap lagi kami gerak datang rumah mama ya?”
“Isya ada nak makan apa-apa tak? Mama boleh masakkan.”
“Tak apa, mama. Kali ni biar Isya yang masak apa yang mama nak makan. Mama nak makan apa?”
Mama tergelak kecil mendengar kata-kata anaknya itu. Isya boleh memasak? Ajaib betul. Tapi apa salahnya kalau anaknya itu nak masakkan untuknya. Teringin juga dia nak makan.
“Petang ni mama terasa macam nak makan nasi goreng daging merah. Boleh tak?”
“Nasi goreng daging merah? Okey, sebelum datang rumah mama kami singgah Giant sekejap nak beli barang untuk masak.”
“Oh, ya. Mama nak minta tolong belikan brownies boleh?”
“Boleh, nanti Isya belikan. Mama, nanti kita sambung sembang dekat rumahlah ya? Hazrill dah sampai.”
“Okey, jumpa nanti. Assalamualaikum.”
“Wa’alaikumussalam.”
Hazrill terus menghulurkan beg kertas berisi fries dan burger untuk Alisya sebaik sahaja dia melangkah masuk ke dalam kereta. Dia tahu yang Alisya tak makan dari pagi tadi… sebab tu dia beli banyak sikit hari ni.
“Isya dah call mama. Mama ajak Rill tidur dekat rumah.”
“Inshaallah.”
“Rill, kita singgah sekejap dekat Giant boleh tak? Isya nak beli barang untuk masak.”
“Oh, nak masak apa?”
Alisya mengeluarkan buku kecil di dalam handbagnya dan terus menulis barang-barang yang diperlukan. Takut nanti dia tertinggal membeli sesuatu bahan.
“Isya nak masak nasi goreng daging merah. Mama teringin nak makan petang ni.”
“Rill tak tahu pun Isya pandai masak.”
“Kawan-kawan arwah Nana yang ajar Isya. Hurm...”
Hazrill mengangguk faham. Tak sangka lepas Alisya bakal jadi milik orang lain baru dia dapat merasa masakan air tangan Alisya sendiri. Tak apalah, sekurang-kurangnya… tak lah dia kempunan nak merasa air tangan Alisya.
“Ramai pula orang dekat Giant ya hari ni?”
“Biasalah tu. Giant dekat sini memang macam ni.”
Lepas mendapatkan barangan yang diperlukan, Alisya dan Hazrill terus melangkah masuk ke dalam kedai cake untuk mendapatkan brownies yang dipesan oleh mama.
So, Isya nak apa-apa lagi tak?”
“Itu sahaja cukup. Malam ni Isya nak buat muffin… Rill suka makan muffin tak?”
“Suka, Isya pandai buat ke?”
“Tu satu-satunya benda yang saya tahu buat dulu.”
Hazrill mengangguk faham. Tak sangka dia sebenarnya tak tahu banyak lagi perkara pasal Alisya sedangkan usia perkenalannya dengan Alisya sudah bertahun-tahun.
“Tak sabar pula Rill nak makan bila tahu Isya yang nak masak.”
Alisya tergelak kecil mendengar kata-kata Hazrill itu. Sungguh, dia rasa betul-betul terhibur dengan Hazrill.
“Rill ada nak makan apa-apa ke? Kalau nak, nanti Isya masakkan.”
“Nasi goreng daging merah pun dah cukup buat Rill. Nanti Rill tolong Isya masak ya?”
“Betul ni?”
“Betullah. Kenapa tak percaya?”
Alisya hanya mengangkat bahunya sambil tergelak kecil. Jarang ada lelaki nak masuk dapur. Eqal pun tak tergolong dalam golongan lelaki yang sanggup masuk dapur tolong apa yang patut. Tolong beli barang dia sukalah sebab dia hantu shopping tak kisahlah shopping apa pun.
“Ada nak singgah mana-mana lagi tak ni?”
Alisya menggelengkan kepalanya perlahan. Entah kenapa dia tiba-tiba risaukan keadaan Iskandar dan anak-anaknya. Agaknya apa yang mereka sedang lakukan sekarang ni? Dah makan ke belum budak-budak tu? Dah dimandikan ke belum?
“Kenapa ni? Tiba-tiba sahaja muram.”
“Isya risaukan keadaan Is dengan budak-budak tu. Dah makan ke mereka?”
“Isya jangan risau. Is ada dengan merekakan?”
“Nanti kita hantar makanan dekat rumah dia ya?”
Alisya mengangguk laju. Sebenarnya dia masih lagi memikirkan permintaan arwah yang sampai saat ini dia tak mampu nak tunaikan. Permintaan itu terlalu payah untuk ditunaikan. Dia janji dia akan carikan calon isteri yang terbaik untuk Iskandar.
            “Isya harap sangat yang Is akan jumpa pengganti arwah.”
            “Rill pun harap macam tu. Kesian Iskandar nak uruskan anak-anak dan kerjanya seorang diri.”
            “Isya nak sahaja bawa mereka tinggal dengan Isya tapi Is tak nak berjauhan dengan mereka… Isya harap mereka baik-baik sahaja.”
            Alisya merenung rantai tangan yang terletak cantik di tangannya itu. Nana, Isya akan membantu anak-anak Nana selagi Isya terdaya. Isya tak akan biarkan mereka terbiar tanpa kasih sayang seorang ibu…
            “Susah saya nak percaya yang arwah dah tak ada lagi.”
            “Rill pun rasa macam tu. Arwah pergi dalam usia yang muda. Minta-minta Iskandar dapat mengharungi semua ini dengan tabah.”
            “Isya rasakan Isya nak carikan pengasuh untuk anak-anak Is… at least, Is tak perlu susah-susah nak uruskan anaknya dan kerjanya.”


bersambung...

No comments:

Post a Comment